KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sudah pun bermula secara rasminya dengan menampilkan tiga calon yang akan merebut kerusi yang dipertahankan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selama empat penggal.
Berbeza dengan beberapa PRK sebelum ini, PRK DUN Slim menampilkan kelainan tersendiri apabila calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang memperoleh sokongan Pakatan Harapan (PH).
Begitu juga calon Barisan Nasional (BN) yang mendapat rakan baharu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila mereka membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dengan kerjasama parti-parti dalam PN termasuk Pas, BN dilihat berpotensi besar untuk memenangi dan seterusnya mengekalkan kerusi DUN tersebut sebagai kubu kuat BN.
Jika tidak masakan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad yakin memperoleh kemenangan sebanyak 14,000 undi.Namun, kemenangan itu bukanlah mudah apabila mereka terpaksa berdepan dengan calon yang mempunyai sokongan kuat daripada parti yang menang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Ada yang melihat PRK DUN Slim sebagai medan ujian bagi Pejuang untuk mengetahui sejauh mana parti yang diasaskan oleh bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu diterima rakyat. Tetapi sebenarnya PRK kali ini merupakan ujian sebenar buat Bersatu biarpun mereka secara rasmi bersama menyokong BN ketika PRK DUN Chini pada bulan Jun lalu.
UMNO dilihat seolah-olah masih meragui kehadiran Bersatu untuk bersama mereka di dalam Muafakat Nasional (MN) biarpun Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun mengumumkan bahawa parti itu akan menyertai gabungan MN.
Malah lontaran cabaran turut diberikan kepada Bersatu oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan Bersatu bekerja keras mendapatkan undi sebanyak 6,144 yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu untuk menyokong calon BN jika mereka jujur dan ikhlas mahu bersama MN.
Insiden Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu di‘boo’ oleh Pemuda BN dalam satu majlis pelancaran jentera mereka di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak pada hari pertama kempen PRK itu merupakan cabaran besar buat Bersatu untuk bekerjasama sebagai satu gabungan.
Bagaimanapun, kenyataan Ketua Armada Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Azirul Syafiq Sazali semalam bahawa mereka tidak mempunyai masalah dengan Pemuda BN memberikan sedikit kelegaan dan menutup terus ruang pihak lawan menjadikan isu itu sebagai senjata mereka.
Dalam pertemuan bersama Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim baru-baru ini, beliau mengakui jentera UMNO dan Pas dilihat lebih serasi kerana sudah lama bergerak dalam beberapa siri kempen PRK.Katanya, Bersatu masih mencari keserasian dan dilihat seolah-olah terasing dalam kumpulan BN memandangkan mereka masih baharu dalam gabungan tersebut.
Cabaran yang dilaungkan Ahmad Zahid sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Bersatu khususnya di Bahagian Tanjung Malim bagaimana mereka mahu menarik undi sebanyak 6,144 yang diperoleh Bersatu pada PRU14 yang lalu.
Bersatu berjaya memperoleh undi sebanyak itu pada PRU14 hasil gabungan mereka bersama Pakatan Harapan (PH) membabitkan undi penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Malah pada PRU berkenaan juga, semua parti PH yang bertanding menggunakan logo PKR, bukan parti masing-masing.
Dalam 13 Daerah Mengundi yang ada di DUN Slim, enam daripadanya dimenangi oleh PH manakala selebihnya milik BN pada PRU14. Berdasarkan situasi berkenaan, amat mustahil untuk Bersatu mendapatkan kesemua undi yang mereka menangi ketika PRU terdahulu untuk menyokong BN kerana PH sudah pun mengisytihar sokongan mereka kepada Amir Khusyairi.
Sama ada cabaran yang dilontarkan oleh pemimpin UMNO itu satu perangkap atau ujian kesetiaan, terpulang kepada Bersatu untuk menentukannya.Tetapi kegagalan jentera Bersatu untuk meraih undi yang dimenangi pada PRU14 lalu akan menjadi senjata kepada UMNO untuk mengkaji semula hubungan mereka dengan Bersatu pada PRU ke-15 nanti.
Apa yang pasti, PRK DUN Slim bukan sahaja ujian kepada calon-calon bertanding tetapi turut menguji parti-parti yang menyokong calon.