Tiga anggota tentera ditahan langgar perintah kuarantin

Iklan
Tiga anggota tentera ditahan kerana didapati melanggar perintah kuarantin di rumah yang dikenakan terhadap mereka sebagai sebahagian daripada SOP dalam mengawal penularan Covid-19.

SIBU - Tiga anggota tentera dari kem tentera di sini ditahan kerana didapati melanggar perintah kuarantin di rumah yang dikenakan terhadap mereka sebagai sebahagian daripada peraturan operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, ketiga-tiga mereka yang berumur antara 23 dan 28 tahun, masing-masing berasal dari Kelantan, Melaka dan Johor, didapati tidak mematuhi perintah itu semasa berada di Jalan Channel pada pukul 3.00 petang semalam.

Iklan
Iklan

"Orang awam yang melihat ketiga-tiga mereka di dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna putih, masing-masing memakai gelang tangan (tanda perlu kuarantin) di Jalan Channel. Kehadiran mereka di kawasan awam kemudiannya dilaporkan ke ibu pejabat polis di sini, yang kemudiannya menghantar satu pasukan petugas untuk mengesan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, semasa diperiksa, anggota tentera yang dipercayai baru kembali ke Sibu itu didapati memakai gelang tangan berwarna putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, dan siasatan lanjut mendapati mereka telah diarah menjalani kuarantin di berek, namun sebaliknya tidak dipatuhi mereka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, anggota tentera itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- Bernama