JAKARTA - Video seorang lelaki dari Indonesia 'tidak melakukan apa-apa' memperoleh lebih daripada tiga juta tontonan di YouTube.
Muhammad Didit memuat naik sebuah video dirinya yang sedang merenung ke arah kamera telefon bimbit pada 10 Julai lalu di saluran YouTube rasminya iaitu sobat miskin, lapor The Jakarta Post semalam.
Keseluruhan video berdurasi selama 2 jam, 20 minit dan 52 saat, kini mempunyai lebih dari tiga juta tontonan, 81,000 tanda suka dan lebih 24,354 komen dari warganet.
Meskipun Didit tidak meramalkan bahawa video tersebut akan menjadi tular, namun dia bersyukur penerimaan orang ramai.
Katanya, dia gusar sekiranya dalam tempoh dua jam itu, berlaku gangguan hingga menjejaskan video yang dirakam secara langsung itu.
"Selama dua jam itu, saya lebih bimbang sekiranya ibu bapa panggil. Namun bersyukur sepanjang rakaman tiada gangguan.
"Saya juga telah pergi lebih awal ke tandas dan mengisi perut," katanya.
Jelasnya, tidak menyangka video tersebut tular dan meraih lebih perhatian dari warga net.
"Sebelum ini, kandungan video lebih berkisarkan makanan, perkara positif, pendidikan untuk disampaikan kepada penonton.
"Kali ini, saya cipta kelainan dan mahu menghiburkan orang ramai," katanya baru membuat saluran YouTube pada Februari 2020.