SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong usaha kerajaan untuk melantik wakil belia dalam Dewan Negara bagi memastikan suara anak muda sampai ke peringkat tertinggi sistem demokrasi berparlimen.
Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, pihaknya berharap perkara itu dapat dilaksanakan segera supaya setiap pelan dan perancangan dapat dirangka lebih teliti.
Iklan
Iklan
"Usaha ini bagi mendedahkan golongan belia terutamanya di peringkat akar umbi tentang sistem berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang dilaksanakan di Malaysia.
"Jadi dengan pengumuman yang dibuat sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 pada 15 Ogos 2020 lalu membuktikan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cakna mengenai kepentingan akan keberadaan golongan muda dalam menyampaikan idealisme mereka sebaris dengan golongan pembuat dasar yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohd Husni berkata, seluruh kepimpinan MBM termasuk Ahli Jawatankuasa dan Dewan Tertinggi MBM sebulat suara memberi sokongan untuk mengusulkan supaya Presiden MBM, Jufitri Joha dilantik sebagai Senator dalam Dewan Negara.
"Ini menunjukkan kerajaan serius dalam usaha mengangkat martabat belia di negara ini sebagai golongan pelapis kepimpinan masa hadapan.
"Selain itu, golongan belia secara langsung dapat menjadi ‘suara rasmi’ di Parlimen dan bersama-sama pemimpin negara membina negara ke arah yang lebih maju,” katanya.