MELAKA - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini terhadap pertuduhan memukul adik perempuannya bulan lalu.
B S Darshan Kaur, 58, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap adik perempuannya, B S Balbeer Kaur, 56, dengan memukul menggunakan tangan di bahagian lengan kanan di sebuah rumah di Jalan Merbuk Taman Melaka Baru, kira-kira jam 4.30 petang, 4 Julai lalu.
Iklan
Iklan
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun jika disabit kesalahan.
Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 21 September depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili peguam V Saminathan.