Dalam satu ucapan di televisyen, pemimpin berusia 75 tahun itu berkata, kerajaan dan parlimen di negara itu juga dibubarkan.
"Ketika mengucapkan terima kasih kepada rakyat Mali kerana sokongan sepanjang tahun yang panjang ini (tahun memerintah) dan kasih sayang mesra daripada mereka, saya pada masa yang sesuai ini memberitahu anda keputusan saya untuk melepaskan tanggungjawab saya," katanya.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas askar-askar yang memberontak menahan Keita dan Perdana Menteri, Boubou Cisse semalam.
"Hari ini sebahagian daripada pihak ketenteraan telah memutuskan bahawa campur tangan itu adalah perlu. Adakah saya mempunyai satu pilihan? Ini adalah kerana saya tidak mahu berlakunya pertumpahan darah," katanya di televisyen.
Setakat ini masih tidak jelas sama ada beliau masih ditahan di pangkalan tentera Kati.
Menurut laman berita Malijet, pemberontakan itu diketuai oleh Kolonel Sadio Camara, bekas pengarah sebuah sekolah tentera di pangkalan tentera tersebut.
Para pemberontak turut menahan sejumlah besar menteri termasuk menteri luar dan menteri kewangan dan speaker parlimen.
Menurut portal berita BBC terdapat kemarahan dalam kalangan anggota tentera mengenai bayaran gaji selain konflik berterusan dengan kumpulan jihad termasuk ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Keita.
"Kami boleh menyatakan bahawa presiden dan perdana menteri berada dalam tangan kami. Kami menangkap mereka di rumah mereka," kata seorang anggota pemberontak itu sebelum ini.
Penahanan Keita itu berlaku selepas ketegangan politik selama beberapa bulan dan tunjuk perasaan yang kadangkala membawa maut di negeri Sahel.
Beliau memenangi pilihan raya presiden dan memegang jawatan itu pada tahun 2013 sebelum dipilih semula pada tahun 2018.
Pentadbirannya diselubungi dengan keganasan antara etnik dan penentangan golongan jihad sekali gus meragut ribuan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri dari rumah. - Agensi