Penoreh getah maut, isteri cedera parah kemalangan

Iklan
Balakrishnan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. (Motosikal Honda Ex5 yang dinaiki mangsa dalam perjalanan menghala ke kebun getah terlibat dalam kemalangan.)

ALOR GAJAH - Seorang penoreh getah maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Garing, Durian Tunggal, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 9 pagi, S Balakrishnan, 57, dari Jalan Baru Bukit Tambun Durian Tunggal bersama isterinya K Komalar, 50, dalam perjalanan ke kebun getah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian dipercayai apabila motosikal Honda Ex5 yang dinaiki mereka dari arah Durian Tunggal menghala ke Machap membelok ketika tiba di satu simpang tiga, menghala ke pintu belakang Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Motosikal yang dinaiki suami isteri terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Saga di Jalan Garing, Durian Tunggal, di sini pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki yang datang dari arah hadapan gagal mengelak dan berlaku pelanggaran pada bahagian hadapan sebelah kiri kenderaannya dengan motosikal mangsa.

Iklan

"Akibat kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala isterinya mengalami cedera parah dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka.

"Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Puspakom," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Tambahnya, siasatan awal mendapati cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan punca kejadian dipercayai akibat kecuaian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.