KUALA TERENGGANU – Terengganu hari ini memberi bantuan kewangan sekali beri atau one-off kepada 165 daie atau pendakwah negeri ini yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Bantuan sebanyak RM250 seorang membabitkan peruntukan lebih RM41,000 itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.
Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau menghargai peranan daie dan asatizah yang berkorban masa dan tenaga mereka bergerak ke seluruh negeri tanpa mengira waktu dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
"Bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan jasa dan bakti para asatizah sekalian.
"Namun, kita berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung para asatizah akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Daie yang terkesan akibat Covid-19 hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan kerajaan akan menggerakkan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong yang menjadi pusat pengajian lanjutan kepada pelajar lepasan madrasah moden dan pondok melibatkan peruntukan RM6 juta pada tahun depan.
Dengan adanya institusi itu katanya, ia akan meningkatkan kualiti pengajian Islam dan mampu melahirkan para ulama Terengganu seperti Tok Ku Pulau Manis, Tok Ku Paloh dan Tok Syeikh Duyong.
"Saya berharap para asatizah dapat meneruskan pembudayaan ilmu dan menggerakkan agenda penyatuan serta perpaduan ummah di negeri Terengganu,” katanya.