Protege-RTW bantu graduan

Iklan
Wan Junaidi

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) telah melaksanakan program meningkatkan potensi kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC mempelawa penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan negeri, syarikat swasta dan lain-lain menjayakan agenda penting kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran, terutamanya dalam kalangan graduan.

Iklan
Iklan

"Sokongan dan komitmen GLC adalah amat dihargai dalam usaha untuk melaksanakan inisiatif penting kerajaan melalui Program Protege-RTW.

"Sehingga kini, sebanyak 25 GLC, 600 syarikat-syarikat penerima perolehan kerajaan di bawah arahan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan, 80 syarikat swasta dan lain-lain telah mengambil bahagian dan komited melaksanakan program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Iklan

Wan Junaidi berkata, MEDAC turut bekerjasama dengan 120 institusi kewangan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Financial Industry Collective Outreach (Finco) bagi menempatkan lebih ramai graduan mengikuti program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekonomi negara sedang dalam fasa pemulihan pasca koronavirus (Covid-19) dan pelbagai industri serta individu yang terkesan akibat penularan pandemik global itu menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, punca pendapatan dan sebagainya.

Iklan

"Hal ini telah menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi iaitu 4.9 peratus atau bersamaan 773,200 orang berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan pada Jun tahun ini.

"Meskipun kadar pengangguran dilihat telah menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding Mei 2020 iaitu pada 5.3 peratus atau 826,100 orang, namun keadaan ini masih lagi membimbangkan,” katanya.

Katanya, merujuk kepada Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia Suku Pertama Tahun 2020, golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah paling ramai menganggur iaitu 6.9 peratus.

"Dalam usaha menangani isu ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif dalam memastikan kesinambungan sumber pendapatan dan pekerjaan dapat dikekalkan terutama bagi golongan berpendapatan rendah B40,” katanya.

Protege telah dijenamakan semula dari program asal iaitu Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) pada September 2019.