PENGENDALI Borussia Dortmund, Lucien Favre mengesa bintang muda kelab itu Jadon Sancho untuk kekal bersama gergasi Bundesliga berkenaan bagi meneruskan momentum luar biasanya seperti dilakukan pemain itu musim ini.
Menurutnya, biarpun menjaringkan 17 gol dan mencipta 16 bantuan gol pada saingan Bundesliga musim ini, namun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki Sancho.
"Sebenarnya adalah penting agar Sancho kekal bersama Borussia Dortmund kerana ini juga penting kepada perkembangan kelab pada masa depan.
"Sancho adalah pemain yang sangat berpotensi untuk menjadi pemain berkualiti tetapi dia juga harus ingat bahawa masih banyak yang dia perlu belajar.
"Dia perlu memiliki kemahiran mengendalikan bola dengan lebih baik, melakukan gerakan lebih baik dan meningkatkan kedayatahanannya.
"Dia tidak boleh berhenti berlari kemudian berhenti diam selama 10 minit dan tiba-tiba melakukan sesuatu yang lain selama 10 minit berikutnya. Sancho perlu mengikuti segala yang telah disusun secara sistematik.”
Pemain berusia 20 tahun yang memulakan karier remajanya bersama Watford dan Manchester City itu menjadi tumpuan pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bagi mempertajamkan bahagian penyudah The Red Devils.
Bagaimanapun impian pemain antarabangsa England itu untuk beraksi di Old Trafford masih belum kesampaian apabila kedua-dua kelab gagal mencari penyelesaian dalam isu pembayaran pemain berkenaan.