KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah melihat duit di dalam apa-apa beg kertas yang dibawanya sepanjang bekerja dengan bekas pengerusi Felda itu selama enam tahun.
Kamar Bashah Shariff, 65, yang juga bekas pengawal pengiring Mohd Isa, berkata, kebiasaannya beliau akan memeriksa atau mengintai sedikit kandungan beg milik Mohd Isa yang dibawanya.
"Saya tidak pernah melihat Tan Sri Isa membawa atau memegang apa-apa beg keluar dari pejabat (Mohd Isa) kerana saya yang akan memegang apa-apa barangan yang akan Tan Sri Isa bawa bersama.
"Sekiranya beliau mempunyai urusan di luar, saya akan masuk dan mengambil barang-barang di dalam pejabat yang ingin dibawa bersama," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari kedua prosiding bela diri Mohd Isa yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah.
Saksi pembelaan ketiga itu berkata, beliau akan memeriksa terlebih dahulu barangan milik Mohd Isa bagi memastikan barang tersebut sesuai dibawa ke dalam kereta.
Kamar Bashah berkata, sepanjang bertugas sebagai pegawai khas, beliau akan menemani Mohd Isa ke mana-mana sahaja terutama bagi hal yang berkaitan pekerjaan beliau.
"Pada masa Tan Sri Isa berada di pejabat, saya juga adalah individu yang akan berada di pejabat dan pulang bersama-sama dengan Tan Sri Isa. Seingat saya, saya hanya akan bercuti pada hujung minggu.
"Namun begitu, kebiasaannya saya juga akan menemani Tan Sri Isa sekiranya beliau mempunyai urusan kerja di luar pada hujung minggu. Sebagai bekas pegawai polis, saya sudah terbiasa untuk sentiasa bekerja dan tidak mengambil cuti," katanya.
Menurutnya, sepanjang bersama Mohd Isa, beliau tidak pernah mendengar daripada Mohd Isa atau individu yang rapat dengan beliau berkenaan apa-apa urusan untuk mendapatkan wang rasuah daripada mana-mana sumber.
Semasa disoal peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa, adakah saksi itu mendapat kebenaran daripada Mohd Isa untuk memeriksa beg, Kamar Bashah menjawab:"Tan Sri tidak melarang saya untuk berbuat demikian kerana itu telah menjadi kebiasaan.”
Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu bersetuju bahawa Mohd Isa akan menentukan beg yang perlu dibawa oleh saksi ke dalam kereta.
Afzainizam: Adakah kamu akan bawa beg itu sekiranya kamu tahu kandungannya adalah duit?
"Saya akan bawa juga kerana duit adalah sesuatu yang mustahak dan perlu diberi perhatian. Saya tidak fikir Tan Sri Isa akan beritahu sama ada duit itu adalah duit suapan atau sebaliknya," jawab Kamar Bashah.
Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 3 September ini. - Bernama