Pembantu kedai runcit terlepas hukuman gantung

Iklan
Wan Ahmad Zamil dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan kerana memiliki dadah.

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai runcit menarik nafas lega kerana terlepas hukuman gantung, setelah ditawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Ahmad Zamil Hakim Wan Zulkifli, 26, dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A (2) (r) akta yang sama.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 103.22 gram.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong, di sini pada 19 Jun 2019, kira-kira jam 12 tengah hari.

Iklan

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed turut memerintahkan agar hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan 19 Jun 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zein.

Iklan

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 kerana mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.