TUNJUK perasaan antirasuah yang berlaku di jalan-jalan raya ibu kota Bulgaria, Sofia selama enam minggu lalu berjaya menyatupadukan penduduk dari seluruh negara itu.
Berbagai-bagai wajah kelihatan pada wajah para penunjuk perasaan itu yang berkongsi satu tujuan iaitu memaksa perdana menteri konservatif, Boyko Borisov meletakkan jawatan sebagai langkah pertama untuk membersihkan kehidupan orang awam.
Sebuah bot dingi getah mempunyai satu peranan dalam membangkitkan protes itu pada bulan lalu apabila Hristo Ivanov yang menaikinya mendarat di sebuah pantai Laut Hitam di negara tersebut.
Ketika pantai tersebut kononnya adalah untuk orang awam namun secara realitinya laluan masuk ke pantai tersebut dikawal oleh seorang tokoh politik menyebabkan satu pergaduhan berlaku antara Ivanov dengan anggota-anggota keselamatannya.
Ivanov yang berjambang dan memakai baju T berkata, insiden itu merupakan suatu kejadian yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan rakyat Bulgaria.
Beliau merupakan seorang menteri dalam kerajaan Borisov sebelum memulakan penubuhan parti antirasuahnya sendiri.
Salah seorang penduduk Bulgaria yang merupakan tokoh undang-undang, Nikolay Hadjigenov kerap memberi ucapan kepada para penunjuk perasaan.
Kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai situasi yang lesu di Bulgaria, dia dan dua lagi rakannya melemparkan cadangan untuk satu protes baru diwujudkan.
Kumpulan tersebut telah menyelaraskan sekatan di jalan raya menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan malah membaling buah tomato kepada beberapa ahli politik tertentu atau apa sahaja sebagai percubaan untuk memastikan momentum antirasuah itu berlaku.
Gandingan tiga orang itu juga mempublisitikan protes mereka di kedutaan Jerman.
"Kami telah menyalakan satu percikan api dan buat pertama kalinya masyarakat awam kini muncul (menyertai antirasuah) di Bulgaria," katanya kepada AFP sambil tersenyum.
"Dana Kesatuan Eropah (EU) disedut menerusi hidung mereka dan mereka berpura-pura tidak mengetahuinya," tambahnya.
Dia merujuk kepada parti Borisov yang merupakan sebahagian daripada Parti Penduduk Eropah (EPP).
EPP turut disertai parti Kesatuan Demokratik Kristian dianggotai Canselor Jerman, Angela Merkel.
Semasa melihat laporan berita tentang vila-vila mewah milik golongan oligarki, seorang ibu yang berusia 50 tahun, Vera Ivanova mendapati jurang antara kehidupan mereka dengannya adalah terlalu jauh.
Dia yang mempunyai seorang anak kelainan upaya berusia 25 tahun telah berada di jalanan bagi menuntut penyingkiran golongan elit yang didakwanya telah menjual kehidupannya.
Wang bulanan sebanyak 211 euro (RM1,053.23) yang diterimanya bersama anaknya itu setiap bulan hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan kehidupan, kata Vera Ivanova.
Menurutnya, dia tidak mampu mengelarkan wang untuk melakukan ubah suai rumah yang diperlukan untuk kemudahan anaknya yang menghidap palsi serebrum.
Ibu-ibu tidak mempunyai sebarang pilihan lain melainkan pergi bekerja sebagai cara untuk menjaga anak mereka, kata Ivanova.
Dia memakai sehelai baju T dengan tertera nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya dengan sejumlah ibu lain.
Sistem penjagaan sosial dan kesihatan merupakan sesuatu yang memerlukan perubahan, tambahnya.
Sementara itu, Georgi Georgiev, 47, ialah seorang pemilik sebuah perniagaan kecil dari barat laut negara itu yang merupakan wilayah paling miskin di EU.
Sudah pastinya, wilayah-wilayah itu memerlukan dana pembangunan EU.
Namun, kebanyakan penduduk mengadu mereka tidak pernah melihat faedah daripada wang dana itu.
Justeru, Georgiev mendakwa tentang kewujudan rasuah yang sudah berakar umbi yang menyebabkan situasi tersebut berlaku.
"Kami perlu melepaskan diri daripada mafia ini dan mewujudkan sebuah masyarakat awam yang lebih berhati-hati dengan pemimpin yang akan datang," katanya kepada AFP.
Kebanyakan penunjuk perasaan itu berhimpun dan berkhemah di kawasan Jambatan Eagle, Sofia iaitu lokasi mereka mendesak perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.
Georgiev menjadi sebahagian daripada para penunjuk perasaan yang tidak akan berkompromi dengan kerajaan Borisov.
Para penunjuk perasaan itu terdiri daripada para pekerja NGO, peguam, pakar-pakar teknologi maklumat dan lain-lain telah mewujudkan satu ruang untuk bertukar-tukar pendapat yang mereka telah bandingkannya dengan Speaker's Corner di Hyde Park, London. - AFP