AMBANK Group (Ambank) menambah baik reka bentuk dan pengalaman pengguna aplikasi mudah alihnya, AmOnline yang akan disediakan di platform iOs, Android dan Huawei pada bulan ini.
Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank (M) Bhd, Aaron Loo berkata, penambahan tersebut dilakukan bagi memenuhi keperluan pengguna.
"Kemas kini ini dibuat pada masa yang tepat ketika pengguna beralih kepada interaksi digital apabila kita mengadaptasi norma baharu penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Loo berkata, bank menyaksikan pertumbuhan pantas 61 peratus penggunaan perbankan dalam talian setakat tahun ini berbanding tempoh sama pada 2019.
"Trend ini dijangka berterusan kerana AmBank memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri dalam aplikasi AmOnline,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AmBank Group, Datuk Iswaraan Suppiah berkata, Ambank gembira kerana dapat memberikan lebih banyak kebebasan kepada pelanggan untuk memenuhi keperluan perbankan mereka.
"Selain reka bentuk baharu, kami juga menjadikan aplikasi ini lebih pantas untuk memudahkan pengguna menguruskan kewangan mereka.
"Malah, kami juga akan terus memperkenalkan ciri-ciri yang canggih untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran,” katanya.
Aplikasi baharu AmOnline menampilkan reka bentuk baharu lebih segar dan pengalaman perbankan berbeza dengan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan bagi penggunaan keseluruhan yang lebih baik.
Ia mempunyai keupayaan 360 darjah yang membolehkan pengguna membuka akaun baharu, melabur, membuat pinjaman, menyatukan hutang, mendapatkan kad kredit serta membeli insurans dengan kaedah tanpa sentuh dan tanpa kertas sepenuhnya.
Di samping itu, pelanggan juga boleh menyekat kad yang hilang, membolehkan perbelanjaan di luar negara menggunakan kad debit dan menaikkan sementara had kad kredit semasa berdepan kes kecemasan.
Ciri-ciri lain yang turut dimuatkan ialah pengguna boleh mencari transaksi pembayaran terdahulu.