Hanya air hujan penghilang dahaga

Iklan
Rumah uzur yang telah menjangkau usia puluhan tahun terus menjadi tempat tinggal Basirun (gambar kecil).

SEGAMAT - Hanya air hujan penghilang dahaga seorang warga emas setelah kediamannya terputus bekalan elektrik dan air sejak hampir dua bulan lalu.

Basirun Ali, 80, berkata, kini, sisa hidupnya diteruskan dengan meneguk air hujan yang ditadah dan selain lilin menjadi peneman setianya di kala waktu malam.

Iklan
Iklan

"Bekalan elektrik dan air di rumah saya terpaksa dipotong sebab bil dah lama tertunggak. Saya pun dah tak ingat bila kali terakhir saya membayarnya.

"Jadi, sejak dipotong lebih sebulan lalu, saya terpaksa gunakan lilin bagi menerangi rumah ini dan bekalan air hujan pula disimpan untuk minum dan mandi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Basirun, wang hasil jualan getah yang ditoreh pula akan digunakan bagi membeli makanan seharian.

"Ketika ini, kediaman yang saya duduki ini adalah hasil daripada tanah rizab yang dimohon sebelum ini. Tanah seluas kira-kira 1.6 hektar ini dahulunya digunakan untuk tanaman sawit.

Iklan

"Tapi bila sawit tak menjadi, saya tanam pokok getah. Jadi, dengan cara itu sahaja saya mendapatkan wang tambahan untuk membeli makanan seharian,” katanya.

Meskipun kebanyakan pokok getah terbabit masih tidak matang, namun Basirun tiada pilihan lain kecuali menoreh bagi mendapatkan hasil yang tidak seberapa untuk dijual.

"Dalam sehari tu dapatlah kira-kira RM5 ke RM6. Dengan keuntungan itulah saya gunakan untuk pergi warung di sekitar kampung ini bagi membeli makanan. Itu pun adakalanya terpaksa berhutang jika tiada duit nak bayar.

"Orang kampung di sini pun tidak berkira, kalau kata saya nak berhutang beli makanan, mereka tak kisah. Malah, di rumah saya pun dah penuh dengan pelbagai baju dan kasut yang disedekahkan oleh penduduk,” katanya yang menetap di Kampung Sawah Baru, di sini.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai hidupnya yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, warga emas ini mengakui telah menetap sendiri sejak lebih 20 tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia.

Katanya, meskipun dikurniakan lapan cahaya mata yang masih mengambil berat tentang dirinya, namun dia lebih selesa menetap seorang diri di rumah yang menyimpan banyak memori antara dia dan isterinya.

"Rumah ini memang dah uzur teruk selain terdapat juga bumbung yang bocor, namun saya lebih selesa tinggal di sini. Anak-anak semua dah berkeluarga dan mereka ada juga balik jenguk saya.

"Baru-baru ini juga saya masuk ke hospital Kulai dan semuanya datang melawat. Saya menetap di rumah salah seorang anak untuk beberapa hari sebelum bertegas untuk pulang ke kampung secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Basirun nyata ceria apabila menerima kunjungan Adun Tenang, Solihan Badri dan Ketua Kampung Sawah Baru, Md Yusof Salleh.

Basirun berharap agar bantuan daripada JKM dan Baitulmal yang akan diproses Md Yusof dapat diselesaikan segera untuk dia melangsaikan bayaran bil tertunggak selain memohon penyambungan semula.