'Hero' dihargai bomba

Iklan
Norazam (tengah) beramah mesra dengan Nur Athirah Izzati sambil diperhatikan Samsudin (dua, kiri).

SEREMBAN - Seorang Pembantu Awam Majlis Perbandaran Jempol layak digelar hero apabila sanggup melupakan kesakitan pahanya yang retak, meredah masuk ke dalam sebuah rumah terbakar demi menyelamatkan nyawa seorang bayi.

Tindakan nekad Samsudin Maakum, 56, dalam kejadian pada 12 Disember 2018 di Taman Bukit Intan, Kuala Pilah itu, berjaya menyelamatkan bayi lelaki berusia 20 bulan itu.

Iklan
Iklan

Keberanian bapa lima anak itu mendapat penghargaan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini, semalam.

Samsudin menerima sijil penghargaan khas, disampaikan Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis.

Iklan

Samsudin berkata, dia tidak pernah menyangka diberi penghargaan sebegitu yang akan menjadi kenangan manis dalam hidupnya.

Menceritakan kejadian itu, Samsudin berkata, dia yang ketika itu cuti sakit telah ke lokasi kejadian kerana mahu memantau pekerjanya melakukan kerja ubah suai rumah.

Iklan

"Saya alami retak tulang paha kanan kerana terjatuh dalam bilik air di rumah di Bahau dan mendapat cuti sakit empat bulan.

"Walaupun sukar berjalan akibat kecederaan dialami, saya perlu tengok pekerja buat kerja baik pulih rumah tapi bila sampai ke lokasi, saya dengar penduduk jerit rumah terbakar dan pada masa sama dengar tangisan bayi," katanya

Tanpa berfikir panjang katanya, dia memecahkan pintu dan meredah api sebelum berjaya menemui bayi tersebut di ruang tamu dan terus mendukungnya membawa keluar.

Samsudin yang turut cedera terkena percikan api bersyukur bayi berkenaan selamat.

Selain itu, bekas pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Rembau, Nur Athirah Izzati Shamsul Murfiz turut menerima sijil penghargaan atas tindakannya membantu menyelamatkan 36 penghuni asrama perempuan sekolah berkenaan dalam kejadian kebakaran pada 28 September 2017.

Nur Athirah Izzati berkata, walaupun telah lebih setahun berlalu, namun ia masih segar dalam ingatannya.

"Lepas kejadian tu, saya trauma dan ambil masa sebulan untuk pulih kerana melihat sendiri api marak dalam bilik.

"Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, saya terjaga daripada tidur kerana rasa bahang sebelum lihat api di bahagian kotak suis elektrik. Saya jerit kejutkan rakan lain untuk selamatkan diri," katanya.