Kluster Sala: Peniaga ikan terjejas akibat salah faham lokasi wabak

Iklan
Siti Rahmah menyusun hasil laut sementara menanti pelanggan di kedainya di Kuala Sala di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kira-kira 100 peniaga dan nelayan di Kuala Sala di sini terjejas akibat salah faham lokasi wabak susulan kewujudan Kluster Sala yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabtu lalu.

Seorang peniaga ikan, Siti Rahmah Bakar, 38, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila pendapatannya menurun hampir 90 peratus kerana ketiadaan pelanggan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jualannya sekarang ini hanya bergantung kepada penduduk setempat berbanding sebelum ini pelanggan yang datang kebanyakan dari seluruh Kedah.

"Selama empat tahun berniaga ini kali pertama perniagaan saya betul-betul terkesan, semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu pun kami tak rugi macam ini.

Iklan

"Sebelum ini hasil jualan boleh mencecah RM2,000 sehari tetapi sejak heboh dengan kluster itu nak dapat RM300 pun susah. Malah saya terpaksa cari pasaran luar pula untuk menampung modal yang sudah dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, salah faham dalam kalangan pelanggan wujud apabila mereka mengandaikan Kuala Sala terletak dalam kawasan kluster.

Iklan
Keadaan di Kuala Sala lengang tanpa pelanggan dari luar sejak tercetusnya Kluster Sala pada Sabtu lalu.

"Kawasan ini tiada kena mengena dengan kluster terbabit. Kuala Sala sebenarnya terletak dalam Mukim Sala Kecil di bawah daerah Kota Setar manakala kes koronavirus (Covid-19) pula berlaku di Sala Besar dalam daerah Yan.

"Individu yang positif itu pula dikatakan berniaga di Guar Cempedak iaitu terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuala Sala. Akibat salah faham ini, kami semua terkesan malah ada peniaga ikan yang terpaksa berhenti berniaga kerana barang jualan rosak serta mengalami kerugian," katanya lagi.

Seorang peniaga kedai runcit, Mohd Yusoff Osman, 60 berkata, sejak tercetusnya kluster berkenaan, kira-kira 70 peratus pelanggan luar tidak lagi berani berurusan di Kuala Sala.

"Di hadapan kedai runcit saya ini adalah tapak pasar malam setiap Rabu, tetapi semalam tak ada orang pun. Kebanyakan peniaga pasar malam adalah orang luar mungkin mereka pun takut nak mai (datang) berniaga," katanya.

Seorang nelayan, Osman Hussin, 59 pula berkata, dia juga tidak dapat turun ke laut sejak kebelakangan ini disebabkan peraih dan peniaga enggan mengambil hasil tangkapan.

Osman menunjukkan botnya yang tersadai di Kuala Sala di sini hari ini.

"Sebelum ini saya memperoleh sekitar RM50 sehingga RM150 sehari tetapi sekarang sejak tak turun ke laut saya langsung tak ada pendapatan, mujur la saya ada buat bendang sikit-sikit," katanya.

Tambahnya, dia berharap pandemik Covid-19 cepat berlalu dan orang luar tidak lagi salah faham dengan lokasi wabak berkenaan.

"Lagipun peniaga-peniaga di sini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mai (datang) la beli ikan di sini," katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Hariandi kawasan berkenaan mendapati, kawasan tersebut lengang selain terdapat peniaga ikan yang tidak berniaga.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sala dikesan di daerah Yan di mana kes pertama (iaitu kes ke-9,148) adalah lelaki warganegara yang dikesan positif pada 13 Ogos lalu melalui sistem survelan klinikal Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.