Bayern akui cukup bernasib baik

Iklan
Gnabry (kanan) meraikan jaringan bersama Thomas Mueller (kiri) dan Lewandowski semasa aksi menentang Lyon di Lisbon.

TONGGAK Bayern Munich, Serge Gnabry mengakui juara Bundesliga itu cukup bernasib baik untuk mara ke pentas final Liga Juara-Juara selepas Lyon gagal memanfaatkan deretan peluang semasa aksi separuh akhir di Estadio Jose Alvalade, Lisbon.

Pada aksi itu, Gnabry meledak dua gol pada minit ke-18 dan 33 bagi mendahului babak pertama sebelum jaringan penggempur berbisa Bayern, Robert Lewandowski minit ke-88 mengesahkan kemenangan 3-0 sekali gus kemaraan kelab Jerman berkenaan ke pentas final.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun sebelum pakar final Liga Juara-Juara itu meledak jaringan awal, Memphis Depay dan Karl Toko Ekambi terlebih dulu menguji gawang Bayern namun gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

Menurut Gnabry, juara Ligue 1 kendalian Rudi Garcia ternyata memberikan tentangan sengit pada perlawanan itu, namun ketumpulan penyudah memisahkan kedua-dua kelab walaupun margin selesa berpihak kepada Bayern.

Iklan

"Lyon memberikan banyak tekanan kepada kami. Mereka mempunyai beberapa peluang dan kami bernasib baik pada awalnya. Situasi akan menjadi sukar kepada Bayern sekiranya pemain Lyon memanfaatkan peluang mereka pada perlawanan ini.

"Pada Ahad ini kami akan memberikan segalanya untuk mendapatkan trofi berprestij kelab Eropah. Ini juga akan menjadi seperti persediaan kepada kami dalam mengharungi saingan baharu musim depan,” katanya.

Iklan

Gnabry kini terlibat secara langsung dalam 11 gol di Liga Juara-Juara musim ini iaitu sembilan gol dan dua bantuan gol manakala Lewandowski pula dengan 20 gol.

Sementara itu, Toko Ekambi mengakui gagal membantu kelabnya untuk memimpin perlawanan sambil menyifatkan Bayern tampil lebih tenang untuk memenangi perlawanan.

"Kami fikir kami boleh melakukan yang lebih baik seperti sebelum ini tetapi kami gagal menyempurnakan deretan peluang sebaliknya Bayern tidak terkalah disebabkan memanfaatkan peluang.

"Kami bermain dengan baik tetapi kami tahu bahawa kami berdepan Bayern yang hebat. Gol (Bayern) pertama menyakitkan kami tetapi kami terus bermain. Ada malam ketika anda memilikinya dan malam ketika anda tidak melakukannya, dan yang terakhir berlaku hari ini.

"Jadi selepas ini pemain Lyon harus memiliki pola pemikiran yang sama kerana pemain tidak menentang Bayern setiap minggu. Tetapi kami harus mengambil pengalaman bagi menghadapi saingan Ligue 1,” katanya.