TANJUNG MALIM - Masalah bekalan elektrik di Kampung Sungai Teras di sini akhirnya selesai apabila masyarakat orang asli di situ akan menerima kemudahan tersebut Selasa ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihak kementerian telah meminta Tenaga Nasional Berhad untuk membantu mempercepatkan bekalan elektrik ke kampung tersebut.
Menurutnya, walaupun masalah bekalan elektrik ke kediaman merupakan tanggungjawab penduduk namun kerajaan tetap prihatin dengan masalah yang dihadapi dan membantu menyelesaikan perkara tersebut dengan segera.
"Bagi masalah elektrik ini boleh dikatakan sudah selesai 100 peratus dan hari Selasa mereka akan terima bekalan elektrik. Saya minta dipasangkan segera sebab orang asli ada peruntukan sendiri," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Teras di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Dr Juli Edo.
Sementara itu, mengenai masalah air, Abdul Rahman berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengenai peruntukan RM2.3 juta untuk diluluskan.
Menurutnya, masalah air itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk diselesaikan segera.
"Setakat ini sebanyak RM119,000 diluluskan khusus untuk Kampung Sungai Teras. Kawasan lain akan kita tengok keperluan mereka. Saya suka tengok kampung ini. Cantik, bersih dan dijaga dengan baik.
"Secara dasarnya kemudahan asas seperti jalan raya, rumah dan sebagainya sudah pun ada di kampung tersebut namun kita mahu menambah baik kemudahan sedia ada," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Asli di Slim River mahu air bersih, bekalan elektrik
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan keluhan penduduk kampung orang asli di Slim River yang terputus bekalan air bersih Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas, Kampung Changkat Ramu dan Kampung Sungai Jentong.
Sementara itu, Tok Batin, Kuloh Bah Rinteh, 62, berkata, masyarakat orang asli sangat gembira masalah mereka selama 20 tahun dapat diselesaikan.
Katanya, seramai 226 orang penduduk di Kampung Sungai Teras akan mendapat manfaat daripada bekalan elektrik yang disalurkan pada Selasa nanti.