145 paus terdampar di pantai New Zealand

Iklan
145 paus pilot ditemui terdampar di Pulau Stewart di New Zealand. - Foto NZHerald
WELLINGTON - NEW ZEALAND. Sejumlah 145 paus pilot ditemui terdampar di pantai sebuah pulau terpencil di New Zealand, kata pihak berkuasa, hari ini.

Kumpulan paus berkenaan ditemui seorang pendaki di Pulau Stewart, kira-kira 30 kilometer di pantai selatan negara itu.

Separuh daripada paus yang ditemui terdampar telah mati, manakala selebihnya terpaksa dimatikan disebabkan lokasi pulau yang jauh terpencil dan sukar untuk diakses, sekali gus menyukarkan usaha untuk mengapungkan paus terbabit.

"Agak menyedihkan kerana peluang untuk mengapungkan paus ini terlalu tipis. Kawasan ini terpencil, kekurangan petugas berhampiran ditambah keadaan paus yang semakin lemah.

"Ia adalah keputusan yang sukar, namun pilihan terbaik adalah untuk mematikan mereka, ” kata Pengurus Operasi Jabatan Pemuliharaan Pulau Stewart, Ren Leppens.

Kejadian paus terdampar kerap berlaku di pantai New Zealand, jabatan pemuliharaan mendedahkan secara purata 85 kejadian berlaku setiap tahun.

Punca sebenar paus terdampar secara berkumpulan tidak dapat dipastikan, namun ia berkemungkinan melibatkan faktor seperti penyakit, salah arah, ciri geografi, pasang surut, dikejar pemangsa dan cuaca melampau. - AFP