Kempen Bulan Kemerdekaan Isma ke arah martabat bahasa Melayu

Iklan
Aminuddin (tengah) pada pelancaran Kempen Bulan Kemerdekaan Bahasa Identiti Negara di pejabat Isma Bangi hari ini.

BANGI - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melancarkan Kempen Bulan Kemerdekaan bertemakan 'Bahasa Identiti Negara' bagi mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kempen yang bermula dari 15 Ogos hingga 16 September itu juga bagi membangkitkan semangat patriotik, setia berjuang untuk kebaikan negara dan umat Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelbagai program disusun termasuk ceramah, forum, puisi dan edaran risalah sepanjang tempoh itu.

"Penganjurannya diharap dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terutama orang Melayu Islam berkaitan konsep kenegaraan Islam, sejarah perjuangan Islam dan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti Malaysia," katanya pada pelancaran Kempen Bulan Kemerdekaan di pejabat Isma di sini hari ini.

Iklan

Aminuddin berkata, Isma turut menuntut kerajaan menumpukan tujuh perkara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

"Antaranya mengembalikan nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dan mewajibkan fasih bertutur bahasa Melayu bagi permohonan kewarganegaraan.

Iklan

"Kerajaan juga perlu menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap nama bangunan, kawasan perumahan, bandar, pengiklanan yang masih menayangkan citra asing," katanya.

Tambahnya, Isma turut menggesa penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular selain menghormati ‘ketuanan’ tulisan jawi sebagai satu daripada tulisan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami juga meminta kerajaan mengekalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu dan rancangan serta filem dari luar negara dialih suara ke bahasa Melayu," katanya.