MPOB rangka strategi tingkat eksport minyak sawit ke Iran

Iklan
Ahmad Jazlan menerima kunjungan hormat Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi di Ibu Pejabat MPOB.

SHAH ALAM - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan merangka strategi bagi meningkatkan eksport minyak sawit ke Iran yang kini terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kesan daripada Covid-19, nilai perdagangan dan eksport sawit negara ke Iran telah menguncup dan memberi implikasi yang kurang sihat kepada industri sawit negara.

Iklan
Iklan

"Pada 2019, Malaysia mengeksport sebanyak 575,127 tan produk berasaskan sawit dengan nilai sebanyak RM1.368 bilion ke Iran dengan pecahan seperti minyak sawit 521,669 tan, minyak isirung sawit 26,924 tan, oleokimia 11,600 tan dan produk siap sawit 14,934 tan.

"Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020, nilai eksport adalah sebanyak 74,084 tan dengan penguncupan sebanyak 73.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Semalam Ahmad Jazlan menerima kunjungan hormat Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi di Ibu Pejabat MPOB Kuala Lumpur.

Ahmad Jazlan berkata, pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu membincangkan hal-hal yang berkaitan kelangsungan Sawit Malaysia yang di eksport ke negara Iran.

Iklan

Katanya, turut disentuh tentang strategi untuk meningkatkan jumlah eksport ke Tehran untuk membantu pekebun-pekebun sawit dan penggiat industri di Malaysia.

"Pertemuan pada hari ini pastinya akan membantu meningkatkan kembali nilai eksport sawit pada masa akan datang dan saya sifatkan ianya amat berjaya.

"Sekiranya jumlah eksport kembali meningkat, ini bukan sahaja membantu ekonomi negara, manfaat juga akan dapat dinikmati oleh pihak yang terlibat secara langsung dengan industri sawit negara dan harga akan melonjak ke paras yang lebih baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, dengan pengecualian duti eksport yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, nilai dagangan pastinya dapat dipertingkatkan lagi dari masa ke masa.

"Pengecualian duti ini juga merupakan suatu langkah yang baik oleh pihak kerajaan untuk membantu rakyatnya yang terlibat secara langsung dengan sawit di negara ini.

"MPOB akan merangka strategi hasil daripada pertemuan ini dan akan memaklumkan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta kementerian beberapa cadangan bagi meningkatkan nilai eksport ke Tehran, sejajar dengan hasrat Menteri KPPK yang ingin melihat industri sawit terus melonjak," katanya.