Hanya lima kes positif baharu Covid-19

Iklan
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Hanya lima kes positif koronavirus (Covid-19) baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini dan kesemuanya kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 9,240 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 183 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lima kes import berkenaan melibatkan dua warga Malaysia manakala tiga lagi bukan warganegara.

"Kes-kes tersebut dari negara Jepun (empat kes di Sarawak) dan Bangladesh (satu kes di Selangor). Tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, tujuh kes telah pulih daripada pandemik berkenaan dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,932 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Iklan

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui catatan di Twitter rasminya memaklumkan tiga kluster telah tamat ia melibatkan Kluster Elsa, Kluster Stutong dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Al-Khobar menjadikan jumlah kluster yang tamat ialah 82. - Bernama