Warga Perancis ‘gelang pink’ negatif Covid-19

Iklan
Gelang pink yang dipakai lelaki itu mengesahkan dia perlu dikuarantin di rumahnya di Langkawi. Foto: Polis Langkawi

LANGKAWI - Seorang lelaki warganegara Perancis akan menjalani tempoh kuarantin di Langkawi setelah disaring petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi disahkan negatif koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pengesahan itu dibuat petugas KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memaklumkan lelaki itu sudah diberikan kebenaran menjalani kuarantin kendiri di rumahnya, di Pantai Chenang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki berusia 64 tahun itu menaiki pesawat Malindo dari KLIA dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pagi tadi dengan memakai gelang kuarantin berwarna pink.

"Pejabat Pertanyaan Balai Polis Padang Mat Sirat menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 3.30 petang. Siasatan mendapati lelaki itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris pada 19 Ogos ke Doha, seterusnya ke KLIA menaiki pesawat sama dan tiba di KLIA pada 8.25 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Iklan
Gelang pink yang dipakai lelaki itu mengesahkan dia perlu dikuarantin di rumahnya di Langkawi. Foto: Polis Langkawi

Menurutnya, kehadiran lelaki itu disedari anggota Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad (MAB), yang ternampak kelibat lelaki itu di LTAL memasuki ruang legar lapangan terbang itu.

Mohd Iqbal berkata, saringan awal dilakukan di KLIA dan mendapati keputusan saringan tersebut adalah negatif Covid-19.

Iklan

"Seterusnya dia diarahkan melakukan kuarantin di rumahnya di Jalan Pantai Cenang, pihak KKM mengarahkannya bertemu dengan pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kedah pada 1 September depan,” katanya.

Anggota polis menyoal siasat lelaki berkenaan bagi mendapatkan maklumat terperinci. Foto: Polis Langkawi

Menurutnya, pada 2 September pula lelaki berkenaan dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 untuk kali kedua.

"Polis dan KKM Langkawi akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan dia mematuhi perintah kuarantin ditetapkan,” katanya.

Mohd Iqbal turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan kehadiran lelaki tersebut dan sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM sepanjang berada di Pulau Langkawi.