KAMPAR - Seramai 27 anggota barisan hadapan menyertai Eksesais Pesona Bujang Melaka di sini, sebagai persediaan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tumpuan pendaki itu.
Pendakian bermula jam 7 pagi itu melibatkan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Pejabat Perhutanan Kinta dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, latihan itu selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara 20 yang menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan dan bantuan bencana negara.
"Matlamat utama eksesais itu adalah meninjau bentuk muka bumi kawasan sebagai persediaan untuk tugas-tugas menyelamat dan waktu respon.
"Anggota teknikal juga dapat menguji kemampuan sistem komunikasi dalam melaksanakan operasi bencana serta memastikan kesiap siagaan semua elemen penugasan dan menguji tahap ketahanan fizikal dan mental sekiranya melaksanakan operasi menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggota juga mengenal pasti koordinat lokasi-lokasi tumpuan dan berisiko sepanjang jajaran lokasi tersebut.
"Matlamat lain kita memberi pendedahan awal kepada pasukan penyelamat dan mewujudkan semangat setia kawan dalam kalangan pasukan penyelamat,” katanya.