KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini kemungkinan akan terus mendengar semakan kehakiman mengenai keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seandainya kebenaran diberikan kepada bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.
Esok, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim akan memutuskan permohonan Musa dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.
Isnin lalu, peguam yang mewakili Musa dan 32 ADUN itu, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata Leonard telah membayangkan bahawa semakan kehakiman akan segera didengar sekiranya kebenaran diberikan.
Menurutnya, semakan kehakiman akan didengar sekiranya kebenaran diberikan, sama ada permohonan untuk menangguhkan perisytiharan pembubaran DUN dibuat atau sebaliknya.
Tengku Farid telah membayangkan pihaknya akan segera memohon penangguhan perisytiharan pembubaran DUN itu jika kebenaran diberikan.
Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan Sabah, responden keempat.
Namun, apa yang akan berlaku sekiranya mahkamah menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu?
Dalam senario ini, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Roger Chin berkata, pemohon masih boleh membuat rayuan.
"Lebih-lebih lagi, pemohon boleh mengemukakan sijil perakuan segera apabila memfailkan rayuan (jika permohonan semakan kehakiman ditolak).
"Sijil perakuan segera membolehkan rayuan mereka didengar secepat mungkin...mungkin dalam tempoh seminggu,” katanya kepada Bernama di sini.
Pada Isnin lalu, SPR menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh PRN Sabah dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Sept manakala hari mengundi awal pada 22 september. - Bernama