PHARMANIAGA Berhad (Pharmaniaga) mencatatkan prestasi memberangsangkan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 apabila untung selepas cukainya meningkat sebanyak empat peratus kepada RM10 juta berbanding suku sama pada tahun lepas. Sementara untung sebelum zakat dan cukai pula bertambah sebanyak 15 peratus kepada RM14 juta.
Pharmaniaga menjelaskan, prestasi tersebut dicapai berasaskan perolehan kukuh berjumlah RM646 juta, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.
"Tempoh terkumpul enam bulan berakhir pada 30 Jun 2020 mencatatkan pertambahan untung selepas cukai sebanyak 11 peratus.
"Untung sebelum cukai dicatatkan sebanyak RM45 juta, sekali gus menyaksikan peningkatan hasil pendapatan kepada RM1.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Susulan prestasi kukuh itu, Lembaga Pengarah syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.5 sen sesaham.
Katanya, dividen akan dibayar pada 6 Oktober 2020 kepada pemegang saham berdaftar pada 8 September ini.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata, prestasi syarikat itu dipacu oleh permintaan lebih tinggi dalam perniagaan bukan konsesi, terutamanya berasaskan peningkatan jualan peralatan perlindungan diri akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang menular.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pharmaniaga akan memastikan ubat-ubatan dan bahan perubatan dibekalkan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan terus stabil di samping perkhidmatan logistik dan pengedaran yang disediakan.
"Kami komited memperkukuh operasi di semua bahagian serta menceburi usahasama baharu selari dengan industri penjagaan kesihatan semasa.
"Langkah ini membolehkan syarikat terus mencatatkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.