PEMILIHAN pemain ke Kejohanan Piala Thoms dan Uber di Aarhus, Denmark mulai 3 hingga 11 Oktober depan tidak akan terganggu berikutan masalah kecederaan beberapa pemain utama negara ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), baru-baru ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pemilihan itu akan dilaksanakan tidak lama lagi setelah mengenal pasti pemain terbaik bagi mewakili negara.
Justeru menurut menurut Choong Hann, kewujudan pasukan sains sukan BAM bakal membantu mempercepatkan lagi proses untuk pemain pulih daripada kecederaan mengikut masa ditetapkan.
"Secara keseluruhannya kejohanan jemputan yang kita anjurkan ini semuanya sebagai langkah untuk pemulihan dan penyediaan pemain untuk menyertai sebarang kejohanan.
"Selain itu, ia adalah untuk mencari rentak pertandingan dan meneliti bagaimana pemain mengendalikan pertandingan dengan penuh tekanan dan kita berjaya.
"Namun beberapa pemain utama kita telah mengalami kecederaan. Bagaimanapun masalah kecederaan ini adalah normal dan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengelak daripada mengalami kecederaan,” katanya.
Kelmarin bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj yang mencadangkan supaya badan induk badminton negara itu segera melakukan bedah siasat setelah beberapa pemain senior negara tewas selain mengalami kecederaan ketika mengharungi kejohanan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.
Difahamkan antara pemain yang mengalami kecederaan pada pertandingan berkenaan adalah pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Leong Jun Hao, pemain beregu campuran, Goh Soh Huat, Goh Liu Ying dan pemain wanita nombor satu negara, Soniia Cheah.
Pada masa sama, Choong Hann menyatakan pihaknya merancang mengadakan kejohanan simulasi bagi saingan Piala Thomas dan Uber dalam usaha menyediakan pemain ke kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kejohanan itu tidak pasti dapat dilaksanakan berikutan masalah kecederaan selain tarikh kejohanan yang semakin hampir.
"Kita ada minta untuk anjurkan kejohanan simulasi Piala Thomas dan Uber ini tetapi sama ada kita akan buat atau tidak.
"Kita juga mahu melihat maklum balas daripada pemain, sama ada mereka bersedia atau tidak bagi menyertai kejohanan simulasi berkenaan,” katanya.