ANGKA 2020 cukup memberi kesan kepada semua pihak. Dunia dilanda pandemik Covid-2019. Terbaru, pada Ahad lalu, cuaca terpanas di dunia direkod di Death Valley, California, Amerika Syarikat iaitu 54.4 darjah celsius. Catatan Ahad lalu itu ialah yang terpanas direkodkan sejak tahun 1913. Pada 1913, catatan suhunya ialah 56.7ºC.
Berita dari Death Valley memaksa penulis menghubungi sahabat lama, Amir A Razelan, anak Malaysia yang membangunkan SeeLoz Inc usahasama dengan teknokrat Amerika di San Jose, California dalam bidang Teknologi Pengurusan Rantaian Bekalan Kecerdasan Buatan. Amir bercerita tentang keresahan penduduk California menangani cuaca panas sejak minggu lalu.
Penulis juga berdepan pengalaman cuaca panas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1998. Suhu ketika itu mencecah 48°C. Apa yang menarik adalah suhu tertinggi dicatatkan dalam sejarah dunia oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia ialah 56.7ºC pada 10 Julai 1913 di Furnace Creek atau Greenland Ranch, California. Furnace Creek juga berdekatan Death Valley.
Jabatan Perkhidmatan Cuaca Nasional AS (NWS) meramalkan suhu tertinggi bakal dicatat ialah 57.8ºC. Menariknya ramalan cuaca panas itu juga bakal dirakam di Taman Negara Death Valley, California dalam tempoh terdekat ini. Pada 1931, NWS merakam cuaca panas 55ºC di Tunisia terletak di pantai Mediterranean barat laut Afrika di tengah-tengah antara Lautan Atlantik dan Delta Nil.
Fenomena cuaca panas akibat perbezaan tekanan udara di atmosfera telah disebut sekitar 29 kali dalam al-Quran. Antaranya Surah Al-Baqarah ayat 164 bermaksud:"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang ALLAH turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (ada) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran ALLAH) bagi kaum yang memikirkan.”
NWS percaya cuaca panas berlaku apabila sistem tekanan udara tinggi menyebabkan berlaku gelombang angin panas berputar mengikut arah jam dari lembah gurun di Nevada dan Arizona menghala ke arah tekanan udara rendah di pantai barat California. Angin itu mengering dan panas kerana ditekan daripada ketinggian di atas gurun dan gunung tinggi ke permukaan laut di pantai California itu.
Selain itu, Badai Tropika Elida dari pantai Mexico menyerap ke dalam kelembapan gelombang panas menimbulkan ketidakstabilan di atmosfera. Kelembapan itulah mengakibatkan berlaku banyak kebakaran hutan di California baru-baru ini sekali gus mewujudkan awan pirokumulus yang menjulang tinggi sebagaimana dinyatakan oleh pakar cuaca tidak asing lagi, Profesor Daniel Swain daripada University of California, Los Angeles (UCLA).
Fenomena ribut petir kira-kira 1,700 kilometer (km) di selatan kawasan teluk Sonora, Mexico menghantar gelombang panas yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar daripada tekanan tinggi ke tekanan rendah meningkat secara mendadak melalui atmosfera ke utara bahagian pantai California. Gelombang panas itu bercampur dengan kelembapan di atmosfera menghasilkan ratusan ribut petir disertai panahan petir menyambar kawasan tersebut yang sudah tersedia hutan kering menyebabkan berlaku kebakaran.
Rentetan suhu panas melampau, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (DCD) AS mengingatkan penduduk betapa gelombang panas telah membunuh lebih banyak manusia secara purata daripada cuaca ekstrem di negara-lain.
Penulis juga percaya cuaca yang panas boleh menjejaskan kestabilan dan mencair struktur jalan, memecahkan jambatan serta berkemungkinan memanaskan kenderaan ke tahap berbahaya.
Justeru, penulis menyarankan kerajaan segera bertindak melakukan sesuatu termasuk menilai rumusan dikeluarkan NWS sebelum fenomena cuaca panas menimbulkan banyak kerosakan kepada Malaysia.
* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor