Inter tekad akhiri badi 10 tahun

Iklan
Pemain Inter bertekad mengakhiri kemarau kejuaraan Eropah apabila menentang Sevilla pada aksi final Liga Europa di Cologne, Jerman, awal pagi esok.

GERGASI Serie A, Inter Milan berpeluang mengakhiri kemarau 10 tahun tanpa kejuaraan Eropah apabila menentang kelab La Liga, Sevilla pada aksi final Liga Europa di Rhein Energie Stadion, Cologne, Jerman, awal pagi esok.

Pemain sayap Inter, Victor Moses mengakui Nerazzurri sudah bersedia menampilkan persembahan cemerlang dalam meraih kemenangan ke atas kelab Sepanyol berkenaan sekali gus menjulang trofi tersebut.

Iklan
Iklan

"Akhirnya kami berjaya sampai ke tahap ini. Itu yang sangat penting kerana pada mulanya memang amat sukar sebab memerlukan kesabaran dan kerja keras.

"Jadi, sudah tentu kami tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini yang menjadi detik untuk kami kembali merasai keseronokan menjulang kejuaraan.

Iklan

"Pada masa sama kami mahu memenangi trofi ini untuk jurulatih kami Antonio Conte. Dia seseorang yang sangat bersemangat dan mahu kami sentiasa memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan,” katanya.

Kali terakhir Inter layak ke final saingan Eropah adalah pada 2010 yang menyaksikan kelab Itali itu menjuarai Liga Juara-Juara selepas membenam cabaran gergasi Jerman, Bayern Munich 2-0 di Santiago Bernabéu.

Iklan

Dalam pada itu, penyerang Inter, Romelu Lukaku menegaskan semua pemain berada pada tahap terbaik dan dalam masa sama tetap berwaspada dengan kejutan yang bakal dilakukan Sevilla dalam perlawanan tersebut.

"Kalau dilihat memang kami mempunyai kelebihan. Tetapi, jangan dilupakan bahawa Sevilla juga mempunyai kekuatan tersendiri. Mereka mampu mengejutkan beberapa kelab besar.

"Kami perlu berhati-hati dengan corak permainan mereka dan tidak boleh buat silap kerana pada bila-bila masa sahaja kami boleh dihukum. Apa yang penting kami perlu bermain seperti biasa dan mengikuti taktikal jurulatih,” katanya.