Mohd Zailani Abdullah, 32, dan adiknya, Mohd Shahril, 27, memulakan usaha itu sejak tiga tahun lalu dengan modal permulaan hanya RM50.
Mohd Zailani berkata, selepas melalui beberapa halangan akhirnya induk baik ikan tersebut berjaya dihasilkan.
Katanya, walaupun tidak mungkin mencapai harga sebagaimana ikan laga tular yang menyerupai bendera Thailand itu, mereka berbangga kerana pernah menjual seekor ikan dengan harga RM1,000.
"Selain menerima pelanggan di rumah, kami juga menjualnya secara atas talian dan harganya bergantung kepada kecantikan,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak jenis ikan laga seperti halfmoon betta, halfmoon plakat, crowntail, diubletail dan giant betta di mana ia dipecahkan pula kepada jenis-jenis lain hasil kacukan.
Ketika ini katanya, mereka mempunyai lebih 4,000 ikan termasuk 1,500 yang sudah matang.
"Bukan senang nak jaga ikan laga ini, selain pelet, ikan laga juga memerlukan makanan semula jadi, kutu air untuk membesar dengan segar.
"Kami menggunakan daun ketapang untuk memastikan kualiti air lebih terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain ikan laga, mereka juga membiak ikan gupi yang juga ikan hiasan popular yang boleh mencecah harga RM150 seekor.