Polis pantau SOP di Jeti Kuala Kedah

Iklan
Setiap pengunjung yang mahu berurusan dan memasuki Terminal Feri Kuala Kedah perlu mematuhi SOP PKPP sebelum dibenarkan masuk.

KUALA KEDAH - Polis akan melakukan pemantauan secara berterusan di Terminal Feri Kuala Kedah sehingga Isnin ini bagi memastikan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19)

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor berkata, hasil pemantauan pihaknya semalam mendapati semua orang awam yang berada di Terminal Feri Kuala Kedah memakai pelitup muka dan menjalani pemeriksaan suhu badan.

Iklan
Iklan

"Kesemua orang awam yang masuk ke dalam jeti diwajibkan memakai pelitup muka oleh pihak pengurusan Terminal Feri Kuala Kedah.

"Perkara sama juga dilakukan terhadap penumpang yang balik dari Langkawi dan didapati semua mereka mematuhi arahan memakai pelitup muka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam Sinar Harian melaporkan, faktor cuti umum panjang menyebabkan ramai pengunjung memilih perjalanan ke Langkawi.

Terdahulu, tular gambar di media sosial yang menunjukkan keadaan sesak di Terminal Feri Kuala Perlis dan pengunjung tidak mengamalkan penjarakkan fizikal.

Iklan

Beberapa netizen memaklumkan situasi berkenaan adalah berpunca daripada beberapa perjalanan feri ke Pulau Langkawi, Kedah ditunda selama beberapa jam.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 9.45 pagi itu menyebabkan ratusan pengunjung berkumpul di luar terminal susulan ruangan menunggu mencapai kapasiti maksimum sekali gus melanggar SOP PKPP.