SHAH ALAM - Tidak ada pemimpin di negara ini dapat mengukuhkan kedaulatan Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertanyaan cepat tanya cepat jawab bersama pelajar, Farid Aziz yang disiarkan di YouTube, semalam.
Dalam temu bual itu, Ahli Parlimen Langkawi itu ditanya mengenai siapa antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dapat mengukuhkan kedaulatan negara.
"Tiada satu pun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan Barisan Nasional (BN) paling kuat dan adil jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
"BN pada waktu awal," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menggambarkan Anwar seorang yang bercita-cita tinggi dan memilih untuk bergabung dengan UMNO kerana tahu beliau tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya menyertai Pas.
"Saya terima dia, saya naikkan pangkat dia sehingga dia jadi Timbalan Perdana Menteri. Apabila saya letak jawatan, dialah akan ganti saya.
"Tetapi sebelum itu, berlaku peristiwa-peristiwa yang menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah dan itu menghalang kemungkinan dia jadi Perdana Menteri,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang berbakat dan berkebolehan.
"Namun, cara dia mendapatkan populariti dalam kalangan rakyat dengan memberikan wang percuma adalah 'idea yang tidak sesuai' bagi seorang pemimpin," katanya.