SHAH ALAM - Persatuan Peguam -peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyokong sepenuhnya kempen ‘Sayno2zina’ Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ‘Sayno2zina’ kerana ia jelas menepati prinsip Rukun Negara.
Naib Presidennya, Marlina Amir Hamzah berkata, kenyataan ‘semua agama menegah kelakuan seks sebelum berkahwin’ yang terpapar pada poster kempen agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga bertepatan dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
"Tiada agama membenarkan hubungan seks dilakukan sebelum berkahwin. Jadi kempen yang dilaksanakan (LPPKN) ini sememangnya membawa dasar negara dan ia bukan menjadi isu kepada mana-mana agama sekalipun.
"Malah, kempen ini juga sangat baik dalam usaha untuk memberi pendedahan, mendidik dan membentuk kesedaran agar berupaya mengatasi masalah sosial khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Oleh itu perlunya usaha untuk tingkat kesedaran khususnya kepada wanita supaya sentiasa menjaga diri dan menjauhi apa sahaja aktiviti yang boleh mendorong kepada berlakunya zina atau seks luar nikah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa aktiviti wanita yang menentang kempen yang dilaksanakan oleh agensi itu.
Poster tersebut menyatakan semua agama melarang hubungan seks sebelum perkahwinan dan hashtags #jagadiri dan #stayabstinent dan kata kunci,"sayno2zina".
Memetik laporan The StarPengarah Program Woman Center for Change (CCC) Penang, Karen Lai berkata, meskipun LPPKN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berusaha menangani isu sosial seperti kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, namun poster tersebut tidak mendasari isu berkenaan.
Katanya lagi, mesej ‘Jaga diri, Abstinent Stay’ yang di paparkan pada poster kempen itu dilihat bersifat moral dan menghukum.
Mengulas lanjut mengenai pandangan yang dibuat oleh aktivis yang memperjuangkan hak wanita itu, Marlina menjelaskan ia akan membawa lebih banyak keburukan serta boleh menganiayai wanita.
"Bayangkan sekiranya seks dilakukan tanpa ikatan perkahwinan, bagaimana dengan nasib wanita yang hamil anak luar nikah dan cara apakah yang boleh mereka lakukan untuk menuntut hak nanti.
"Ini kerana, hak seperti tuntutan nafkah hanya boleh dilakukan dengan proses undang-undang. Bagaimana seseorang wanita itu ingin membuktikan anak yang dilahirkan itu kepunyaan lelaki tertentu sedangkan mereka tidak memiliki status yang sah (berkahwin),” katanya.
Ditanya mengenai pandangan yang diberikan oleh aktivis-aktivis wanita yang dilihat bertentangan dengan fikiran ‘normal’ itu, jelas Marlina ia dilihat sebagai satu cubaan untuk membawa konsep baharu di negara ini.
"Konsep bagaimana, haruslah ditanya sendiri kepada mereka-mereka yang mengeluarkan pandangan tersebut,” katanya.