Sifat tawaduk ibadurrahman bentuk komuniti harmoni

Iklan
Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77 menjadi surah pilihan bagi Malaysia #QuranHour yang bertemakan Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman pada 30 Ogos ini.

NILAI - Sifat tawaduk yang dimiliki umat Islam dan pemimpin boleh dijadikan contoh terbaik untuk menghidupkan masyarakat harmoni serta berkasih sayang di negara ini.

Menurut Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi, individu tawaduk ini bukan sahaja merendah diri untuk jiwanya tetapi patuh arahan ALLAH SWT serta sentiasa mengikut al-Quran dan Sunnah.

Iklan
Iklan

"Orang yang bersifat demikian mempunyai jiwa yang halus. Kehadiran mereka memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

"Antaranya, dia suka membantu orang susah di sekelilingnya, mudah disenangi orang lain termasuk mereka yang bukan Islam, dan mengangkat kedudukan Islam kerana menunjukkan akhlak yang baik.

Iklan

"ALLAH SWT berfirman:"Adapun hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah itu adalah orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan salam (surah Al-Furqan, 25: 63)," katanya.

DR AHMAD SANUSI AZMI

Beliau berkongsi kupasan mengenai sifat ibadurrahman yang pertama iaitu tawaduk dalam Surah Al-Furqan ayat 63, di pejabatnya baru-baru ini.

Iklan

Beliau turut menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak meninggi diri kerana ia ciri utama ibadurrahman yang disebut dalam al-Quran.

"Menurut Imam al-Qurtubi, orang yang berjalan dalam keadaan tenang dan tidak meninggikan diri namun dia berjalan tidak terlalu tunduk atau lembik.

"Rasulullah SAW berjalan dalam keadaan tegas dan tegap tetapi jiwanya dalam keadaan rendah diri. Inilah ALLAH SWT maksudkan rendah diri sebagai ciri utama ibadurrahman yang disebut dalam al-Quran," katanya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Sedekah tidaklah mengurangi harta. Tidaklah ALLAH menambahkan kepada seorang hamba sifat pemaaf melainkan akan semakin memuliakan dirinya. Dan juga tidaklah seseorang memiliki sifat tawaduk (rendah diri) kerana ALLAH melainkan ALLAH akan meninggikan darjatnya.'' (Riwayat Muslim)

Dalam pada itu, kata Ahmad Sanusi, pemimpin yang bersifat tawaduk akan disukai dan disenangi ramai berbanding pemimpin yang sombong serta bongkak.

Katanya, umat Islam perlu mengambil teladan kisah yang disebut dalam al-Quran mengenai sifat syaitan yang meninggi diri, timbulkan persaingan diri, melakukan perkara tidak baik sehingga akhirnya tergelincir dari syurga.

"Selain itu, kita boleh mengambil pengajaran kisah golongan yang sombong dan bongkak dalam al-Quran, dan bagaimana ALLAH menghilangkan nikmat mereka dalam sekelip mata.

"Untuk memiliki sifat tawaduk, kita harus mendekati golongan anak yatim, orang tua dan fakir miskin. Ini dapat mendidik diri kita menjadi orang yang bersyukur selain menziarahi serta membantu saudara mara yang berada dalam kekurangan," katanya.

Orang ramai dijemput untuk menyertai Malaysia #QuranHour yang bertemakan Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman pada 30 Ogos ini.

Tambah beliau lagi, sifat Rasulullah SAW yang bercakap baik ketika berhadapan dengan kaum Quraisy merupakan sifat ibadurrahman yang perlu dicontohi.

"Ayat 63 dalam Surah Al-Furqan, ALLAH SWT mengajar kita untuk berkata baik apabila berhadapan dengan golongan yang bersifat tinggi diri. Contohi sifat Rasulullah SAW yang bercakap baik ketika berhadapan dengan kaum Quraisy yang hebat tetapi sombong kerana menentang Islam.

"Konfrontasi atau pertembungan dengan orang yang bongkak tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah. Sebagai ibadurrahman, berkata baik atau berdiam diri lebih baik daripada menimbulkan perseteruan dan merosakkan diri sendiri,” katanya.

Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77 menjadi surah pilihan bagi Malaysia #QuranHour yang bertemakan Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman, pada 30 Ogos ini bersamaan dengan 11 Muharam 1442H.

Dalam melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19, Malaysia #QuranHour akan disiarkan secara langsung di TV Al-Hijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis secara serentak pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Orang ramai dijemput untuk menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini yang membawa visi"MengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah”.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pesan Ilmuwan- 12 Personaliti Ibadurrahman, sila layari http://bit.ly/ibadurrahmanYouTube dan https://www.facebook.com/WorldQuranHour/