PUCHONG - Video pergelutan antara sekumpulan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan orang awam yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu disahkan video lama yang ditularkan kembali.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian dalam video berdurasi 4 minit 5 saat itu berlaku pada tahun 2009.
Risikin berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan kembali video terbabit dan meminta perbuatan itu dihentikan.
"Itu kes tahun 2009 yang ditularkan kembali. Tolonglah hentikan perbuatan yang tidak memberi kebaikan. Apa faedahnya bila ulang balik video itu?
"Isu yang dah ‘sejuk’ mungkin boleh jadi ‘panas’ balik. Kami tak mahu kerana kes ini timbul pula isu lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Risikin berkata, sejurus mendapat maklumat, beliau merujuk perkara itu kepada jabatan yang terlibat.
Katanya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mengambil masa polis yang sepatutnya boleh digunakan untuk melakukan siasatan berhubung kejadian jenayah lain.
"Bila ada kes macam ini (video tular) kita kena dapatkan maklumat dan ambil masa untuk siasat sedangkan sepatutnya kita boleh fokus kepada penyiasatan dan risikan kes jenayah lain,” katanya.
Terdahulu, tular video yang dikatakan berlaku di sebuah tapak pasar pagi di Puchong di sini.
Video itu menunjukkan dua lelaki bertengkar dengan anggota penguat kuasa MPSJ sebelum seorang daripadanya mengeluarkan sebatang besi dari sebuah kereta.
Anggota penguat kuasa dirakam cuba merampas besi tersebut menyebabkan berlaku pergelutan.
Lelaki yang dipercayai penjaja haram itu kemudian dirakam membuat provokasi terhadap anggota penguat kuasa sebelum bertindak menghantukkan kepalanya di sebuah kereta selain memukul kepalanya dengan besi.
Insiden yang didakwa tercetus selepas penguat kuasa mengambil tindakan sitaan barang perniagaan penjaja haram itu dirakam turut disaksikan lebih 50 orang awam dipercayai pengunjung dan peniaga di pasar tersebut.