Koperasi hasrat miliki saham Lang Merah

Iklan
Koperasi Anak Kedah Berhad

Jika hasrat ini mampu direalisasikan, ia menjadikan Kedah pasukan pertama di negara ini dimiliki sahamnya oleh penyokong setia

ALOR SETAR - Koperasi Anak Kedah Berhad telah menyatakan hasrat kepada kerajaan negeri Kedah untuk memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pemilikan pasukan Kedah menjelang penswastaan musim 2021.

Koperasi tersebut melalui satu kenyataannya hari ini berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada 9 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil pertemuan bersama Muhammad Sanusi dan beberapa pegawai tertinggi Menteri Besar Incorporation (MBI) di Wisma Darul Aman menampakkan hasil yang positif.

"Tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk menyatakan hasrat Koperasi Anak Kedah Berhad untuk menjadi rakan kongsi kepada kerajaan negeri dalam pengurusan bola sepak Kedah bermula saingan Liga Malaysia 2021.

"Koperasi Anak Kedah mencadangkan untuk memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pasukan Lang Merah semasa pertemuan tersebut diadakan. 

"Menteri Besar Kedah amat positif dengan cadangan tersebut dan mengarahkan pertemuan susulan diadakan untuk membincangkan dengan lebih terperinci untuk merealisasikan hasrat menjadikan Kedah pasukan pertama di negara ini dimiliki sahamnya oleh penyokong setia Hijau Kuning," katanya.

Ulas koperasi itu lagi, kelab-kelab terkemuka dunia seperti FC Barcelona dan Real Madrid telah pun mengamalkan sistem saham turut dimiliki oleh penyokong-penyokongnya sejak dahulu lagi.

"Koperasi Anak Kedah Berhad amat komited untuk merealisasikannya dan telah menghantar surat bertarikh 17 Ogos 2020 kepada menteri besar untuk menetapkan tarikh pertemuan susulan selepas ini," katanya.

TAMAT