BENTONG - Konvoi keluarga bertukar tragedi selepas tiga beradik terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 18 Jalan Bentong-Raub di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Norasmah Ismail, 55, serta dua adiknya, Masitah, 54, dan Muslaini, 48, dari Melaka.
Kesemua mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama tiga lagi ahli keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, kejadian pada jam 8.25 pagi yang melibatkan sebuah MPV, kereta dan lori itu turut menyebabkan empat yang lain cedera termasuk seorang parah manakala lima lagi selamat.
Menurutnya, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan.
"Ketika kejadian pemandu Proton Exora dikatakan mahu mengelak ke kanan apabila kereta Proton Saga di depannya menekan brek kerana terdapat kerja penyelenggaraan jalan.
"Bagaimanapun, kereta Proton Exora terlanggar belakang kereta Proton Saga dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu hampir.
"Lori itu pula dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dari Raub menghala ke Bentong," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Yusof berkata, pemandu Proton Exora dan tiga penumpang lain mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raub dan Hospital Bentong manakala pemandu lori bersama pemandu Proton Saga serta tiga penumpang kereta itu tidak cedera.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.