Pemuda Amanah Selangor gesa siasatan segera terhadap menteri

Iklan
Mohd Fauzi (tiga dari kiri) menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Ketua Pemudanya, Mohd Fauzi Hashim berkata, gesaan tersebut susulan dakwaan bahawa pemimpin Pas itu tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki pada Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegagalan pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dibimbangi akan mewujudkan kluster baharu dan menimbulkan kebimbangan rakyat.

"Jika rakyat boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, mengapa pula beliau tidak boleh?

Iklan

"Disebabkan itu kita menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera berhubung isu tersebut," katanya.

Mohd Fauzi berkata demikian selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, di sini bersama pimpinan Pemuda Amanah berhubung isu tersebut.

Iklan

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertikaikan tindakan Khairuddin kerana tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Teresa mendakwa Khairuddin ke Turki pada 3 Julai lalu dan pulang ke tanah air pada 7 Julai sebelum ke Parlimen pada 13 Julai.

Khairuddin ketika diminta mengulas mengenai perkara itu meminta semua pihak agar menanti kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, selain Pemuda Amanah Selangor, beberapa jawatankuasa pemuda parti itu di beberapa negeri lain seperti Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan turut membuat laporan berhubung isu berkenaan.

"Jadi kami harap polis dapat melakukan siasatan segera dan menyiasat Khairuddin berhubung isu ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Teresa dakwa menteri pulang dari Turki tidak jalani kuarantin

Ujian Covid-19 Dr Khairuddin negatif

Menteri nafi jadi punca masjid ditutup