77 dikompaun, 9 direman ingkar PKPP

Iklan
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Seramai 86 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 77 daripadanya dikompaun manakala sembilan individu direman semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu hasil tindakan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat 56,760 pemeriksaan semalam.

Iklan
Iklan

"Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, PDRM mengadakan 63 sekatan jalan raya dan memeriksa 32,279 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong tikus dan dua PATI ditangkap dalam operasi itu," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 14,391 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 66 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Iklan

Daripada jumlah itu, Ismail Sabri berkata, 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 7,062 telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, PDRM juga mengadakan 327 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam, dan mendapati mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu, katanya, sebanyak lapan operasi sanitasi awam dilaksanakan di Sabah, Pahang, Kedah, dan Pulau Pinang semalam.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan 12 jenis bekalan barangan di 725 premis perniagaan semalam melibatkan peruncit (547), pemborong (148) serta pengilang (30) dan secara keseluruhan bekalan barangan keperluan didapati mencukupi.

KPDNHEP turut melakukan 1,103 pemeriksaan khas dan mendapati 1,089 premis mematuhi SOP manakala 13 premis diberikan nasihat dan sebuah premis lagi diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP, katanya. - Bernama