TANJUNG MALIM - Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berasa tidak terkesan dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering melabelkan dirinya sebagai pengundi luar dalam kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Beliau menegaskan bahawa dirinya adalah anak jati Perak yang sedia berkhidmat bagi membangunkan negeri itu.
Iklan
Iklan
"Fokus saya masih sama iaitu saya ingin membawa suara anak muda ke semua pengundi-pengundi di DUN ini dan pada masa sama, saya tidak terkesan dengan kata-kata Datuk Seri Najib mengatakan bahawa saya pengundi luar.
"Apa yang paling penting adalah wakil rakyat itu mestilah wakil rakyat yang boleh berkhidmat. Soal mana saya datang itu, saya adalah anak jati Perak dan Slim ini dalam Perak. Saya percaya saya perlu bangunkan negeri,” katanya.
Beliau ditemui pada program walkabout culaan dan ziarah bersama Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Felda Gunung Besout 1 di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanding di Teluk Intanlah, buat apa tanding di sini? soal Najib
Semalam, Najib dalam siri ceramahnya mengingatkan pengundi untuk memilih calon anak tempatan, Mohd Zaidi Aziz yang mengetahui keperluan dan keadaan masyarakat setempat berbanding calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi yang berasal dari Teluk Intan.