Pelekat bahasa Cina: DBKU tuntut Dapsy mohon maaf

Iklan
Gambar yang tular di laman sosial.

KUCHING - Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Sarawak yang menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pihaknya juga meminta kumpulan terbabit menurunkan pelekat tersebut dengan serta-merta.

Iklan
Iklan

"DBKU telah membuat laporan polis semalam (jam 3 petang) di Balai Polis Sentral dan seterusnya memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching berhubung isu berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad.

Iklan

Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 103 (3), Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 kerana mencacatkan nama di papan tanda nama jalan dan juga Undang-undang Kecil PBT (Kebersihan) 1999 kerana salah laku terhadap harta benda milik pihak berkuasa tempatan atau kerajaan.

"Tidak kira apa pun motif, sama ada tersurat ataupun tersirat, DBKU berharap mana-mana pihak tidak mengulangi tindakan yang jelas berbentuk provokatif dan menjejaskan keharmonian kaum di bandar raya Kuching, DBKU juga berharap pihak terbabit akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini," tegas Abdul Rahman.

Iklan

Semalam, sekumpulan ahli Dapsy Sarawak didapati menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan yang tular di media sosial itu turut mengundang pelbagai komen netizen yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut. - Bernama