Skuad B-19 diuji dalam dua perlawanan

Iklan
Ketua Jurulatih Brad Maloney memberi arahan kepada Skuad Bola Sepak Negara Bawah 19 tahun (B-19) ketika sesi latihan di Kompleks PKNS hari ini. - Foto Bernama

SKUAD negara akan mengadakan dua lagi perlawanan pemanas badan sebagai persiapan awal menjelang Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney berkata, perlawanan menentang pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan minggu depan dan sebuah lagi pasukan tempatan dalam tempoh dua minggu lagi akan menjadi platform penting bagi memperbaiki persembahan serta mengikis perasaan gentar berdepan dengan pemain senior.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, skuad B-19 itu dibelasah 6-1 oleh pasukan Liga Super, Petaling Jaya City FC pada 12 Ogos lalu dan kelmarin tewas 4-0 di tangan pasukan Liga Perdana, Selangor II pada aksi persahabatan.

"Pemain akan menampilkan apa yang dilakukan dalam sesi latihan pada dua perlawanan persahabatan nanti dan berharap dapat melihat lebih banyak peningkatan dalam aksi pemain,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan fasa kedua melibatkan 35 pelatih di padang PKNS, Petaling Jaya, hari ini.

Iklan

Jurulatih kelahiran Australia, bagaimanapun, tidak mendedahkan pemain yang akan dikekalkan pada sesi latihan pusat fasa ketiga minggu depan sebelum memuktamadkan senarai 23 pemain ke Uzbekistan.

Dalam pada itu, penjaga gol muda negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kritikan dilemparkan segelintir netizen di media sosial susulan dua kekalahan dialami skuad B-19 negara sebelum ini.

Iklan

Pemain berusia 17 tahun itu, sebaliknya, tekad memperbaiki kelemahan diri menjelang saingan sebenar pada Oktober depan.

"Kecaman itu perkara biasa, tapi apa yang baik kita ambil sebagai benda positif, dan menerusi dua kekalahan besar itu, ia memberi pengajaran kepada kami bagi memperbaiki kekurangan yang ada.

"Saya juga akan berusaha meraih tempat dalam fasa seterusnya kerana persaingan di posisi penjaga gol agak sengit,” jelas anak jati Mersing, Johor itu.

Skuad kendalian Maloney diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman pada Kejuaraan B-19 AFC - kejohanan yang akan menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 di Indonesia.

Skuad Harimau Muda itu akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan pada 16 Oktober disusuli Qatar (19 Oktober) dan Yaman pada 22 Oktober. - Bernama