BENTONG - Hasrat untuk menghantar bakal pengantin ke Kelantan berakhir tragedi apabila tiga maut selepas sebuah daripada dua kenderaan yang sedang dalam perjalanan itu bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 18, Jalan Bentong-Raub, berhampiran Lurah Bilut di sini, hari ini.
Suri rumah, Dalila Yusof, 54, berkata, konvoi dua kenderaan itu adalah bagi menghantar anaknya Amirul Syafiq Ab Gafar, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pagi esok di Wakaf Baru, Kelantan, dengan kereta Proton Saga dipandu suaminya berada di hadapan.
Tiga mangsa iaitu ipar Dalila, Masitah Kassim@Ismail, 54, dan adiknya Muslaini, 48, serta kakak ipar dua mangsa itu, Norasmah Ismail, 55, menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandu anak lelaki Norasmah berusia 21 tahun, bersama tiga lagi anggota keluarga.
"Ketiga-tiga arwah menetap di Merlimau, Melaka dan datang ke rumah kami di Pelabuhan Klang, Selangor pada petang Khamis. Kami bertolak sekitar jam 6.30 pagi dan sepatutnya berhenti di Raub untuk sarapan sementara menunggu sebuah lagi kereta untuk sama-sama berkonvoi.
"Semasa kereta kami brek, saya toleh ke belakang untuk lihat kereta mereka, namun terdengar bunyi dentuman kerana kereta kami dilanggar dari belakang sebelum kereta mereka bertembung dengan lori dari hadapan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Bentong di sini, hari ini.
Dalila berkata, mereka segera berhenti untuk memeriksa mangsa dalam kenderaan itu, namun ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia dan keluarga memutuskan untuk menangguhkan perkahwinan bagi menguruskan jenazah yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Merlimau malam ini.
Katanya, anak Norasmah kini dirawat di Hospital Kuala Lipis, dekat sini manakala dua lagi adik perempuan Masitah dan Muslaini, dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, sementara seorang lagi mangsa yang berusia tujuh tahun hanya cedera ringan.
"Ketiga-tiga arwah memang rapat. Saya teringat arwah biras (Norasmah) termenung jauh pada malam semalam, sehingga saya menegur mengapa dia tidak tidur lagi dan arwah hanya senyum serta mengiyakan cakap saya," katanya.
Anak kedua Masitah, Muhammad Fikry Roslan, 28, pula berkata kali terakhir mereka bertemu ialah pada pagi Isnin lepas sebelum dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan semasa itu, arwah ada memaklumkan dirinya berbelah bahagi untuk ke Kelantan.
Ini kerana arwah emaknya bimbang adik-beradiknya yang menetap di luar Melaka pulang bercuti memandangkan cuti umum Awal Muharam jatuh pada Khamis, diikuti cuti hujung minggu.
"Emak sempat menghantar pesanan di kumpulan WhatsApp keluarga pada 6.45 pagi tadi untuk memaklumkan mereka sudah bergerak. Salam subuh dan doakan perjalanan kami selamat ialah pesanan akhir emak sebelum saya menerima panggilan daripada adik pada 11 pagi.
"Pada mulanya saya ingat tidak serius kerana adik hanya cakap langgar belakang sebelum adik sekali lagi menghubungi saya untuk memberitahu emak sudah tiada semasa saya melepasi Tol Gombak," katanya.
Anak sulung Muslaini, Muhammad Hairun, 26, yang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Jerantut, dekat sini berkata arwah begitu teruja untuk ke Kelantan, semasa kali terakhir mereka berbual menerusi panggilan video pada malam Rabu lepas.
Muhammad yang kembali ke pusat tahfiz itu selepas Hari Raya Aidiladha lalu setelah lama bercuti akibat pandemik wabak Covid-19, berkata, arwah juga kerap berpesan untuk dia menjaga diri di tempat orang.
Pada kejadian jam 8.25 pagi tadi, ketiga-tiga mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung lori, selepas melanggar belakang kereta Proton Saga yang pemandunya membrek bagi mengelak kerja penyelenggaran di situ.
Bagaimanapun, pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga serta pemandu lori tidak cedera. - Bernama