SINGAPURA - Singapura akan membenarkan warga dari Brunei dan New Zealand memasuki negara itu bermula bulan depan sebagai sebahagian usaha untuk membuka semula hab penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung hari ini berkata, langkah itu bertujuan mencapai keseimbangan antara mengawal penularan wabak itu dan menghidupkan semula perjalanan udara yang menjadi pemacu utama ekonomi yang bergantung kepada perdagangan dan pelancongan.
Iklan
Iklan
Difahamkan, Brunei dan New Zealand dipilih memandangkan kedua-duanya ialah negara kecil serta berjaya mengawal virus tersebut.
"Ia adalah langkah berhati-hati yang kecil untuk menghidupkan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Kita perlu memastikan sempadan dibuka dan mempunyai hubungan dengan dunia untuk berkembang maju. Oleh itu, kita perlu menjadi hab penerbangan," katanya yang menjelaskan ia adalah langkah unilateral.
Selain itu, tempoh kuarantin juga telah disingkatkan daripada 14 kepada tujuh hari untuk individu dari negara berisiko rendah termasuk negeri Victoria di Australia, China, Vietnam, Taiwan dan Malaysia.
Bagaimanapun, ketibaan dari Brunei dan New Zealand akan menjalani ujian saringan sebagai ganti kepada langkah kuarantin selama 14 hari.
Pada Mac lalu, negara bandar tersebut menutup sempadan mereka kepada pelancong dan pelawat jangka masa pendek sebelum melaksanakan langkah pemutus litar (circuit breaker) untuk membendung wabak tersebut. - AFP