BENTONG - Sambutan bulan kemerdekaan tetap diraikan oleh penduduk Kampung Ketari di sini dengan meneruskan tradisi memasang Jalur Gemilang di sekeliling kampung tersebut.
Lebih 100 Jalur Gemilang dipasang di sekitar kampung itu secara bergotong-royong oleh penduduk dengan melibatkan pelbagai peringkat umur.
Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, Jalur Gemilang berkenaan dipasang di sepanjang jalan-jalan dan di premis awam seperti di balai raya.
"Pemasangan bendera itu diteruskan bagi menceriakan sekitar kampung bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di kampung ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63.
"Hari ini kita memasang lebih 100 bendera dan kita akan lakukan lagi sepanjang bulan kemerdekaan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Ketari di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Kampung Ketari, Alfadzirlah Arifin.
Sementara itu, Jasvir Singh yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Pahang berkata, pemasangan bendera berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan cintakan negara.
"Semua golongan khususnya generasi muda harus menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara dan mengekalkan keamanan negara,” katanya.