Awang dah duga, kapal Muafakat Nasional akan dilambung gelombang. Maklumlah, Muafakat Nasional selama ini bukan pertubuhan berdaftar, hanya nama gabungan.
Macam juga Perikatan Nasional (PN) hanya gabungan untuk tujuan mendirikan kerajaan anjuran parti Bersatu yang tinggalkan Tun mantan Perdana Menteri.
Sudah tentu ada macam-macam suara sumbang dan yang tidak dalam soal itu. Ada yang kata, elok PN kekal dalam keadaan sekarang. Kata orang ‘kahwin mutaah’ untuk kepentingan nak tubuhkan kerajaan sahaja. Lagipun ada pihak dalam UMNO yang tak suka Bersatu jadi gabungan dalam Muafakat Nasional. Mereka tak mahu Bersatu bersama dengan Pas dan BN secara rasmi.
Suara itu makin lantang dalam kalangan pemimpin UMNO bawahan. Nampaknya, langkah pemimpin tertinggi Pas nak ajak Bersatu dalam Muafakat Nasional menyebabkan ada suara tak setuju. Pandangan itu mengatakan Pas harus berunding dengan semua komponen dahulu.
Dari awal Awang dah ingatkan Tan Sri Perdana Menteri, kedudukan partinya macam telur di hujung tanduk. Ada pemimpin UMNO yang mula angkuh menganggap mereka dalam kerajaan kerana kekuatan UMNO sendiri. Sedangkan mereka ditolak oleh rakyat pada tahun 2018.
Patutnya pimpinan Pas dan UMNO harus tahu, tanpa Bersatu, mereka masih jadi pembangkang.
Awang harap Tan Sri Perdana Menteri pertahan kedudukan Bersatu. Parti kecil pun boleh jadi cili padi.
Jangan benarkan Bersatu dibuli.