ROM - Tinggal secara percuma bagi tempoh beberapa hari ketika melancong di sesuatu tempat merupakan satu peluang keemasan yang pasti akan menjadi rebutan ramai pelancong.
Justeru, sebuah perkampungan di selatan Itali menawarkan kepada para pelancong tempat tinggal tanpa dikenakan sebarang bayaran sebagai usaha mempertingkatkan ekonomi tempatan.
Pada akhir Jun lalu, sebuah perkampungan di San Gionanni di Galdo kira-kira 144.84 kilometer ke timur laut Naples membuat keputusan menyediakan penginapan percuma kepada para pelancong selama seminggu.
Perkampungan kecil itu yang dulu hanya menerima 12 pelawat setiap minggu kini menerima tempahan untuk seramai 8,000 orang.
Sebahagian tempahan itu diterima dari Kazakhstan setelah kempen tersebut ditularkan.
Inisiatif itu dianggap amat berjaya kerana ia menerima sambutan yang menggalakkan daripada kebanyakan pelancong di seluruh dunia.
"Kami tidak menjangkakan sambutan seperti ini," kata Stefano Trotta yang mengetuai kempen tersebut.
"Kami menerima kira-kira 70 peratus permohonan dari Kazakhstan, sebahagian lagi dari pekan-pekan di Rusia," ujarnya.
Berikutan permohonan yang banyak, pihak penganjur meminta para pemohon menyatakan kenapa mereka mahu tinggal di kawasan perkampungan yang terletak di puncak pergunungan itu.
Pemohon yang memberikan jawapan yang terbaik akan mendapat tawaran penginapan secara percuma itu.
Wilayah itu seperti di beberapa buah kawasan di Itali mengalami masalah kekurangan penduduk ekoran golongan muda berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan di Rom atau Naples. - Agensi