LIPIS - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 41,Jalan Lipis-Jerantut dekat Kampung Serdang Mela di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu mangsa, Muhammad Azroy Naqiu Hasnihas,16, yang beralamat di Kampung Air Hitam Tembeling Tengah meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu seorang diri dari arah Jerantut ke Lipis manakala lori jenis Hino itu yang membawa muatan cat dari arah bertentangan.
Menurutnya, sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
"Motosikal mangsa kemudiannya bergesel dengan lori tersebut dan mangsa terjatuh di bahu jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 45 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab koronavirus (Covid-19) diperoleh.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.