SHAH ALAM - Polis mengambil tindakan tegas memotong bekalan elektrik di tujuh premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sekitar daerah ini.
Operasi bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula jam 10 pagi.
Kesemua premis itu masing-masing dikesan beroperasi di Seksyen 15, 16, 25 dan 28 dengan berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Siasatan polis mendapati kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi pemilik dan penjaga premis masih berdegil.
Justeru, tindakan pemotongan bekalan elektrik dilakukan di semua premis itu bagi mengelakkan sindiket daripada aktif semula.
Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menumpaskan 61 sindiket perjudian di seluruh negara sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.
Sepanjang tempoh yang sama sebanyak 3,015 serbuan dijalankan ke atas premis perjudian haram di mana seramai 5,590 orang sudah diberkas, sejumlah 9,817 peranti elektronik dan wang tunai sebanyak RM1.046 juta dirampas selain 3,015 kertas siasatan dibuka.
Untuk rekod, tahun lalu, sebanyak 4,368 serbuan dibuat di seluruh negara dan 32 sindiket dapat ditumpaskan dengan tangkapan 10,303 orang yang terbabit dalam aktiviti perjudian.